LANGKAWI – Malaysia perlukan pelancongan massa dan pelancongan mewah untuk menggiatkan lagi pembangunan ekonomi, dan kerajaan bersedia untuk menjadikannya kenyataan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan perancangan untuk memenuhi keperluan bagi kedua-dua kumpulan dan Langkawi, sebagai satu daripada destinasi pelancongan utama di negara ini, boleh menawarkan potensi bagi pelancongan massa dan pelancongan mewah.
“Saya melihat Langkawi sebagai permata yang amat bernilai kepada negara,” katanya dalam ucapan pada majlis menyambut ketibaan penerbangan pertama AirAsia dari Guangzhou, China ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini Ahad.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiow Lai, anggota Exco kerajaan negeri Kedah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, Anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad, Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar.
Najib berkata kerajaan bersedia untuk menarik lebih banyak pelancong termasuk pelancong mewah, dan sebagai kerajaan yang properniagaan, ia mahu melihat lebih banyak sektor swasta memainkan peranan mereka dan menyokong lebih banyak matlamat.
“Rakyat juga perlukan kerajaan seperti ini supaya sektor swasta, Langkawi, Kedah dan negara terus membangun dan kukuh. Ini akan menandakan tahap pertumbuhan dan pembangunan seterusnya di Langkawi,” katanya.
Bagaimanapun, Najib berkata usaha untuk menarik lebih banyak pelancong tidak akan berjaya tanpa rangkaian perhubungan ke destinasi pelancongan, seperti Langkawi.
“Disebalik semua tarikan yang ada, kita tidak dapat menjadikannya kenyataan tanpa rangkaian perhubungan. Kemudahan perhubungan merupakan faktor asas dan penting dalam pembangunan pelancongan,” katanya.
Susulan Langkawi mampu menarik banyak pelawat, Najib berkata kerajaan percaya akan sentiasa ada permintaan bagi penerbangan terus dari Langkawi.
Perdana Menteri berkata semasa kerajaan menyediakan pelan tindakan pelancongan Langkawi pada 2011, pihak kerajaan telah memikirkan cara bagaimana untuk mencapai sasaran tinggi itu dan peringkat pertamanya amat berjaya.
“Daripada 28 penerbangan sewa khas semasa kami memulakan pelan tindakan pada 2011, hari ini kami mencapai 53 penerbangan sewa khas ke Langkawi. Tetapi hari ini, (penerbangan sulung dari Guangzhou ke Langkawi) merupakan permulaan bagi tahap seterusnya … mempunyai penerbangan terus. Kita perlukan rangkaian perhubungan ke sektor-sektor utama. China ialah sumber utama pelancongan bagi Malaysia dan juga bagi dunia,” katanya.
Najib juga berkata terdapat potensi besar di Langkawi yang masih belum diterokai sepenuhnya dan selain mempunyai lebih banyak penumpang antarabangsa, Langkawi juga perlukan lebih banyak bilik hotel dan kemudahan lebih baik termasuk di lapangan terbang.
“Kita mahu pertumbuhan, kita perlu perancangan untuk itu. Kita tidak mahu pelancong datang ke sini dan berasa kecewa. Kita mahu pelancong datang ke sini dengan perasaan gembira dan mahu datang lagi,” katanya.
Penerbangan sulung Airsia dari Guangzhou ke Langkawi mendarat dengan muatan sihat sebanyak 92 peratus. Antara tetamu dalam penerbangan itu ialah wakil daripada Pihak Berkuasa Pelancongan Guangdong dan pengamal media.
Guangzhou ialah ibu negara dan bandaraya terbesar di Wilayah Guangdong di selatan China. Kumpulan pengamal media akan dibawa untuk menikmati tarikan dan keindahan di Langkawi menerusi lawatan anjuran bersama AirAsia, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), The Datai Langkawi dan Starwood Hotels Group.
AirAsia ketika ini memegang 60 peratus perkongsian pasaran dalam trafik udara Langkawi dengan mengendalikan penerbangan terus ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura. – BERNAMA