KUALA TERENGGANU – Mayat seorang bayi yang masih bertali pusat ditemui terapung dalam loji kumbahan sebuah kolej swasta di Setiu semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata mayat bayi perempuan berkenaan dijumpai kira-kira pukul 3.30 petang oleh seorang pekerja kontrak pembersihan kolej tersebut.
“Semasa pekerja berkenaan meninjau di lokasi berkenaan, dia melihat objek terapung di dalam loji sebelum dia memaklumkannya kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita.
Menurut Wan Abd Aziz, pihaknya percaya mayat bayi yang cukup sifat itu berada di dalam loji berkenaan dalam tempoh 48 jam berdasarkan kepada keadaan mayatnya.
Beliau berkata mayat bayi yang dianggar berusia enam bulan dalam kandungan itu terdapat kesan kecederaan di lengan dan pahanya.
“Kita percaya mayat bayi ini keluar dari saluran tandas asrama pelajar kolej berkenaan dan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat bayi ini sedang dijalankan,” kata Wan Abd Aziz.
Beliau berkata usaha mengesan ibu bayi itu sedang dilaksanakan termasuk melakukan pemeriksaan kepada pelajar kolej tersebut, klinik kesihatan dan hospital.
Mayat bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Setiu. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]eByToJxqRXU[/wpdevart_youtube]