ZURICH – Bintang skuad Barcelona, Lionel Messi dinobat sebagai pemain terbaik di dunia setelah memenangi Anugerah FIFA Ballon d’Or dalam satu majlis yang diadakan di bandar raya Switzerland ini malam 11 Januari.
Dengan kemenangan tersebut, Messi berjaya merampas semula anugerah berprestij itu daripada pemenang tahun lalu iaitu bintang Portugal dan seterunya dari kelab Real Madrid, Cristiano Ronaldo.
Anugerah penghormatan tertinggi badan induk bola sepak dunia berkenaan adalah yang kelima bagi Messi yang pernah memenanginya buat empat kali berturut-turut dari 2009 sehingga 2012.
Bintang Brazil iaitu Neymar, rakan sepasukan Messi di Barcelona, menduduki tempat ketiga dalam undian dalam kalangan jurulatih pasukan kebangsaan, kapten pasukan dan juga para wartawan.
“Ia satu kejayaan yang sangat manis bagi saya, lebih-lebih lagi selepas dua tahun berturut-turut ia dimenangi oleh Cristiano Ronaldo,” kata Messi yang berusia 28 tahun.
“Ia juga sungguh menakjubkan bagi diri saya sendiri untuk memenanginya buat kali kelima. Anugerah Ballon d’Or ini sungguh bermakna bagi saya.”
Messi yang mengundi bagi rakan sepasukannya di Barcelona, Luis Suarez, memperolehi 41 peratus undi, sementara Ronaldo mendapat 28 peratus undi dan Neymar hanya 8 peratus undi.
Dia dianggap sebagai memainkan peranan besar dalam membantu Barcelona menjulang Piala Liga Juara-Juara Eropah, La Liga dan Piala Raja Sepanyol pada musim lalu.
Baru-baru ini, Messi juga memainkan peranan penting dalam membantu gergasi bola sepak Sepanyol itu menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA pada bulan lalu.
Meskipun menjadi pemain pertama di dunia untuk memenangi anugerah itu sebanyak lima kali, Messi ada mengatakan sebelum ini bahawa dia ingin sekali menjuarai Piala Dunia FIFA bersama pasukan Argentina.
“Anugerah berpasukan lebih penting daripada anugerah peribadi,” tegas Messi yang turut mendedahkan bahawa memenangi Piala Dunia semestinya menjadi matlamat setiap pemain.
“Kejayaan dalam memenangi Piala Dunia menandakan seseorang pemain itu sudah berjaya sampai ke puncak kejayaan,” jelas Messi lagi.
Messi dan pasukan Argentina hampir-hampir memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil apabila berdepan dengan Jerman. Argentina bagaimanapun ditewaskan 1-0 dalam perlawanan akhir.
Sementara itu, pengurus Barcelona, Luis Enrique dinobat jurulatih terbaik, menewaskan pengurus Bayern Munich Pep Guardiola, yang juga pernah memimpin Barcelona. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA