KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mahu berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, PAN mahu mendapatkan penjelasan mengenai isu rizab Lembaga Tabung Haji.
“Saya telah menghantar surat memohon diadakan satu pertemuan dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Salahuddin berkata, PAN memandang serius dakwaan Lembaga Tabung Haji tidak akan dapat membayar dividen kepada 8.8 juta pencarumnya.
Kata beliau, laporan itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat khususnya para pencarum berkenaan kedudukan simpanan mereka.
Tambah beliau, isu itu turut menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan rakyat berhubung
keberkesanan Lembaga Tabung Haji untuk membantu umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji yang dikhuatiri terjejas.
“Lebih membimbangkan apabila Lembaga Tabung Haji mungkin terpaksa melupuskan aset pelaburannya pada skala besar  dan masa yang singkat untuk memenuhi tanggungjawab kepada pendeposit,” dakwanya. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]Lijf3jO_DE4[/wpdevart_youtube]