MUAR – Gara-gara panik dan risau ditahan polis selepas diminta memberhentikan keretanya, seorang remaja lelaki nekad memandu secara melulu dan berbahaya dari Sungai Abong ke bandar Muar sebelum dia dan pasangannya ditahan polis di Tanjung Agas.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Azman Ayob berkata hasil pemeriksaan, polis menemukan dadah dipercayai heroin seberat tiga gram di dalam satu beg dalam kereta tersebut.
Katanya kejadian berlaku pada 9.15 malam tadi itu tidak melibatkan berbalas tembakan seperti yang dilaporkan di sebuah laman sosial.
“Anggota polis peronda yang sedang membuat rondaan rutin sekitar Sungai Abong mendapati sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan dan telah mengarahkan pemandu kereta untuk memberhentikan kenderaan.
“Bagaimanapun, pemandu kereta sebaliknya memecut kenderaan itu ke pusat bandar (Muar) dan kemudianya menghala ke Ledang,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini Rabu.
Azman berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar yang menerima laporan daripada anggota peronda telah menghantar pasukan bantuan dan berjaya memberkas kedua-dua remaja itu yang dipercayai pasangan kekasih kira-kira 30 minit kemudian di Tanjung Agas.
Katanya kereta yang dipandu remaja lelaki itu adalah milik keluarganya.
Beliau berkata kedua-dua suspek berasal dari Ledang dan ujian saringan air kencing mendapati remaja lelaki itu positif dadah manakala remaja perempuan itu negatif.
Kedua-dua remaja berkenaan ditahan untuk siasatan, katanya. – BERNAMA