GEORGETOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjangka akan membelanjakan kira-kira RM40 juta pada tahun ini bagi pelaksanaan projek-projek penambahbaikan di Menara Komtar, di sini.
Ketua Pengarah Eksekutif PDC Setia Urus (anak syarikat PDC), Datuk Ir Ang Choo Hong berkata, antara penambahbaikan itu termasuk aspek penyelenggaraan penyaman udara, sistem kamera litar tertutup (CCTV), naik taraf gerai, tempat letak kereta serta pembaikan struktur menara berkenaan.
“Kerja-kerja penambahbaikan Menara Komtar itu perlu dilakukan walaupun menelan belanja yang sangat besar. Malah, jika tidak dilakukan sekarang, kos (penambahbaikan) pada masa depan akan bertambah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat khas mengenai projek-projek di Komtar, di sini hari ini.
Menurut Ang, menara setinggi 65 tingkat itu menerima kunjungan lebih 6,500 orang setiap hari yang berurusan di cawangan-cawangan pejabat kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Bagi tahun 2015, PDC memperolehi hasil yuran penyelenggaraan daripada penyewa Komtar sebanyak RM12.322 juta.- BERNAMA
[wpdevart_youtube]PTHCzniSGkE[/wpdevart_youtube]