KUALA LUMPUR – Lebih 200 penduduk Taman Yarl di Jalan Klang Lama di sini semalam, menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan pembinaan sebuah kondominium mewah berdekatan kediaman mereka.
Presiden Persatuan Penduduk Taman Yarl, Datuk Rabinder Singh berkata projek itu dibantah kerana pembinaan kondominium 18 tingkat bersebelahan Villa Yarl itu tidak sesuai dengan lanskap di kelilingi banglo dan rumah teres.
Pembinaan kondominium itu akan menyebabkan kepadatan penduduk lebih tinggi dan akan mendatangkan kesan buruk seperti kekurangan privasi, risiko keselamatan dan pengurangan nilai hartanah bagi plot-plot tanah kejiranan.
Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata pihaknya pernah pada Oktober 2014 mengemukakan bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tentang cadangan pemaju membina kondominium 21 tingkat di tapak yang sama.
DBKL telah menolak cadangan pemaju itu, katanya.
Namun penduduk hairan bagaimana selepas cadangan itu ditolak, pemaju memohon semula untuk membina kondominium 18 tingkat, kata beliau.
Katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya pemaju membina bangunan tidak melebihi empat tingkat di situ. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]Op3SsCZ5mao[/wpdevart_youtube]