KUALA LUMPUR – Penganjur perhimpunan aman bantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) mungkin sengaja mahu cari pasal dengan pihak berkuasa.
Meskipun pihak polis telah memberi kebenaran mereka untuk berhimpun di lokasi ditetapkan iaitu di Padang Merbok di sini petang ini, penganjurnya berkeras mahu mengadakannya di lokasi awam.
Tinjauan mynewshub.cc ke atas laman Facebook rasmi Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat parti berkenaan menyeru orang ramai supaya berkumpul di Maju Junction jika mahu menyertai perhimpunan itu.
“Jumpa nanti, 1pm di Maju Junction,” kata laman Facebook berkenaan pagi ini.
Perhimpunan aman bantah itu bagaimanapun menimbulkan kontroversi dalam kalangan parti pembangkang kerana DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengarahkan ahli dan penyokongnya menyertai perhimpunan itu.
Hal itu mengundang kemarahan PSM yang kemudian mendedahkan sikap hipokrit PKR dan DAP dalam isu TPPA.
Setiausaha Agungnya, Sivarajan berkata, PSM tahu PKR dan DAP enggan menyertai perhimpunan itu kerana khuatir akan menyinggung perasaan pihak tertentu di Amerika Syarikat.
Menurutnya, PKR dan DAP paling kuat menentang TPPA di dalam negara tetapi enggan menyertai protes besar-besaran yang bakal mendapat perhatian masyarakat dunia kerana ia akan diketahui Amerika Syarikat. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]T7aFQP9fbT4[/wpdevart_youtube]