TELUK INTAN – Seorang penghantar piza maut akibat nahas sebelum sempat menghantar pesanan kepada pelanggan di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.55 malam itu, Muhammad Afiq Fikri Abdul Aziz, 21, meninggal selepas motosikalnya dilapor gagal mengelak sebuah kereta di persimpangan Kilometer 3, Jalan Changkat Jong.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supt Yahaya Hassan berkata mangsa yang berasal dari Masjid Baru Sungai Tunku di sini meninggal di Hospital Teluk Intan pada pukul 9.40 malam akibat kecederaan parah di kepala.
“Mangsa yang menunggang motosikal milik bapanya sedang menghala ke arah Bidor untuk menghantar pesanan piza. Sewaktu tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal mengelak sebuah kereta yang hendak memasuki simpang ke Taman Cicely,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA