KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan langkah pengubahsuaian Bajet 2016 disebabkan kejatuhan berterusan harga minyak mentah dunia pada 28 Januari ini.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, pengubahsuaian Bajet 2016 antara lain bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.
“Ia bagi merangsang perbelanjaan penggunaan, mencergaskan aktiviti pelaburan dan memperkukuh imbangan pembayaran negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Irwan berkata, langkah itu merupakan cara kerajaan yang berhemat dalam menguruskan ekonomi negara selepas memantau keadaan ekonomi global.
Menurutnya, langkah itu dilakukan dengan teliti bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan petunjuk ekonomi semasa, kerajaan yakin ekonomi negara akan terus berkembang pada tahun 2016.
“Ini juga selaras dengan unjuran terkini Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa,” katanya.
Tambahnya,kerajaan terus komited dengan konsolidasi fiskal melalui peningkatan kecekapan kutipan hasil serta langkah mengoptimumkan dan menyusun semula keutamaan perbelanjaan.
“Dalam masa yang sama, kerajaan akan memastikan usaha ini tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan di samping terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kepentingan rakyat terus diperlihara dengan memberi keutamaan kepada program yang berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya. - MYNEWSHUB.CC