KUALA LUMPUR – Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencerminkan keprihatinan kerajaan kepada kesejahteraan rakyat selain memberi keyakinan bahawa ekonomi negara sedang diurus dengan sebaik-baiknya.
Beberapa pemimpin negeri turut melihat pengumuman 11 langkah pengubahsuaian dan penstrukturan itu sebagai tepat pada masanya serta mengandungi pelbagai inisiatif yang boleh membantu melonjakkan ekonomi rakyat dan negara.
Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, pengubahsuaian bajet itu memberi harapan dan keyakinan bahawa ekonomi negara tetap diurus dengan cekap dan baik oleh kerajaan.
Beliau yang menyambut baik langkah itu juga berharap semua pihak dapat berganding bahu bersama kepimpinan negara untuk terus memacu negara ke arah negara maju.
“Kerajaan sangat prihatin dengan masalah peningkatan sara hidup dan langkah mengurangkan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pencarum, dapat sedikit sebanyak membantu meningkatkan aliran tunai isi rumah,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Ahmad Razif turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengecualikan visa bagi pelancong China ke Malaysia mulai 1 Mac hingga 31 Dis 2016, tertakluk syarat tertentu, yang disifatkan akan memberi impak yang baik dalam industri pelancongan, khususnya bagi negeri itu.
Malah, katanya Terengganu telahpun memulakan usaha mempromosi pelancongan ke negara itu dan beberapa pihak media China termasuk TV Hunan akan berkunjung ke Terengganu dalam masa terdekat. Selain itu kerajaan negeri turut merancang untuk membuka Pavillion di Huaxi Cun, Shanghai.
Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian yang dilakukan terhadap Bajet 2016 sebagai praktikal, tepat dan sesuai dengan keadaan semasa.
“Ia pasti dapat membantu rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada Bernama.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail pula berkata pengubahsuaian itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan apabila meletakkan kepentingan rakyat lebih daripada perkara lain.
Mengambil contoh Program MyBeras, beliau berkata ia menunjukkan kesungguhan kerajaan meringankan beban golongan miskin tegar yang memerlukan bantuan di waktu ekonomi semasa yang tidak menentu pada masa kini.
Di MELAKA, Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau Melaka Datuk Ghazale Muhamad yakin pengecualian visa kepada pelancong dari China mampu meningkatkan kedatangan pelancong dari negara itu.
Katanya inisiatif tersebut merupakan pemangkin penting usaha Melaka meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dari negara tembok besar itu yang mencatat kedatangan 879,050 pelancong, tahun lepas.
“Tahun lepas bilangan pelancong China itu adalah kedua di belakang Singapura. Kita jangkakan dengan pengumuman tersebut bilangan pelancong dari China ke Melaka akan meningkat sebanyak dua kali ganda tahun ini,” katanya.
Melaka mencatat kedatangan keseluruhan 15.73 juta pelancong tahun lepas dan menyasarkan kedatangan 16.5 juta pelancong tahun ini.
Dalam pada itu, di PULAU PINANG pengumuman kerajaan untuk mengehadkan penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 kepada pembeli rumah pertama mendapat reaksi positif Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan negeri (Rehda) cawangan Pulau Pinang Datuk Jerry Chan.
Inisiatif itu, katanya dapat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri, tetapi pada masa sama kerajaan perlu membantu memudah cara pembeli rumah pertama itu mendapatkan pinjaman sewajarnya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]zKwMMs8N4Tg[/wpdevart_youtube]