KUALA LUMPUR:  Beberapa pengunjung yang ditemui di Mara Digital Mall, Medan Mara di sini, berpuas hati dengan layanan dan servis baik yang diberikan peniaga terhadap mereka.
Salah seorang pengunjung, Ahmad Muhammad Sidek, 40, berkata dia sangat berpuas hati dengan tawaran harga serta layanan baik yang diterimanya.
Selain itu, dia turut tertarik dengan tawaran harga berpatutan yang ditawarkan peniaga jika dibandingkan dengan pusat kemudahan IT yang lain.
“Setakat ini saya tengok harga, standard harga pasaran dan kesemua peniaga di sini bumiputera jadi saya lagi semangat nak membeli,” katanya ketika ditemui Mynewshub di sini, hari ini.
Menurut Ahmad lagi, dia berharap agar Mara Digital dapat diperluas dengan menambah sekurang-kurangnya satu lagi tingkat perniagaan agar dapat memberi peluang kepada bumiputera lain menjalankan bisnes di sana, selain memberikan lebih pilihan kepada pengguna.
Seorang lagi pengunjung Jamaliah Jaafar, 60, pula berkata, ini merupakan kali pertama kunjungannya ke Mara Digital sejak ia dibuka secara rasmi 8 Disember lalu.ÂÂ
“Hasil pemerhatian saya harga ditawarkan okay, terdapat juga model (telefon bimbit) yang baharu keluar dijual di sini.
“Kawasannya pun selesa tapi kalau tapi kalau dapat ditambah lagi bagus, supaya lebih banyak pilihan untuk pelanggan memilih,” katanya yang sebelum ini berkunjung ke Kompleks Pertama jika ingin mencari gajet atau peralatan elektronik.
Dalam pada itu peniaga outlet Dell, Mohd Faizal Mohd Johari, 30, memberitahu, dia tidak menyangka sambutan hangat diberikan pengunjung sejak premis berkenaan dibuka, sebulan lalu.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, ramai orang datang, lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Sesetengah mereka membeli belah di Sogo dan Jalan Tunku Abdul Rahman lalu ambil kesempatan singgah di sini.ÂÂ
“Mengikut pemerhatian saya, 80 peratus pengunjung terdiri daripada orang Melayu dan 20 peratus lagi kaum Cina dan India. Respons mereka mengatakan servis di sini sangat baik,” katanya yang sebelum ini berniaga di Plaza Low Yat.
Seorang lagi peniaga, Muhammad Shazmir Hassan, 27, yang mengusahakan perniagaan ABAQ Enterprise berkata, harga yang ditawarkan di sini sangat berpatutan dan tidak terlalu membebankan pelanggan.
“Pelajar-pelajar universiti memang ramai yang datang begitu juga sekeluarga. Saya berasakan lokasi yang strategik menyumbang kepada kebanjiran pengunjung.
“Setiap minggu juga, Mara Digital akan mengadakan karnival bagi menarik minat dan perhatian orang ramai,” katanya.
Mara Digital beroperasi dari jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari di aras tiga, Kompleks Mara, Jalan Raja Laut. – MYNEWSHUB.CC