KUALA LUMPUR – Proses mewujudkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) kini memasuki fasa akhir sebelum beroperasi sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Penolong Setiausaha Kanan Bahagian, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata pada masa
ini, perbincangan adalah untuk mengetahui peruntukan serta mengenal pasti lokasi sesuai pusat berkenaan.
“Ini merupakan inisiatif kerajaan Malaysia khusus untuk tangani isu pemikiran radikal dan ekstrem secara maya.
“Pusat ini akan diaktifkan dalam masa terdekat dan sekarang ia dalam perbincangan tahap akhir,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perjalanan proses mewujudkan pusat RDC3 itu.
Zamihan yang juga Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), menyifatkan penubuhan pusat digital RDC3 itu amat bertepatan berikutan wujudnya fahaman radikal dan ekstrem yang tinggi dalam kalangan masyarakat kini.
“Pusat ini akan bertindak untuk salurkan maklumat dan fakta mengenai perpaduan, kasih sayang, syahid, agama dan lain-lain kepada masyarakat.
“Maklumat ini akan disalurkan secara maya dan ini yang kita cuba lakukan untuk patahkan serangan tentera siber daripada pengganas,” katanya.
Beliau berkata jika pihak pengganas menggunakan media sosial untuk menyampaikan dakyah mereka, kerajaan juga akan menggunakan instrumen yang sama.
Mengulas lanjut, beliau berkata pusat RDC3 itu akan dianggotai oleh petugas Jabatan Perdana Menteri bersama Majlis Keselamatan Negara.
“Selain itu, KDN bersama agensi keselamatan di bawahnya iaitu Polis Diraja Malaysia akan turut membantu,” katanya.
Pada 21 Okt tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Malaysia akan mewujudkan Pusat RDC3 untuk memerangi penyebaran ideologi dan propaganda kumpulan militan menerusi internet, setelah Amerika Syarikat memilih negara ini atas komitmennya dalam menangani ancaman keganasan antarabangsa dan kegiatan jenayah rentas sempadan.
Minggu depan, Malaysia bakal menjadi tumpuan apabila menganjurkan persidangan antarabangsa selama dua hari, dan dijangka membincangkan strategi anti radikalisme dan memerangi keganasan melampau. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]PghiXyugJsQ[/wpdevart_youtube]