Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Penumpang Cedera, Pesawat American...

CHICAGO - Beberapa orang dilaporkan cedera apabila sebuah pesawat American Airlines terbakar ketika...

Suspek Siar Maklumat Palsu...

KOTA KINABALU - Polis menahan seorang lelaki disyaki pemilik akaun Facebook Radzlan Razz...

Polis Masih Siasat Identiti...

KUALA LUMPUR - Polis masih menyiasat identiti sebenar lelaki warga Korea Utara, Kim...

Tengku Permaisuri Selangor Sertai...

SHAH ALAM - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menyertai...

Percepatkan Tempoh Pemberian Rebat GST Kad Prabayar

KUALA LUMPUR – Isu kad prabayar dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berlarutan sejak 1 April tahun lalu akhirnya ditangani dengan satu inisiatif rebat, yang ‘menyejukkan’ hati para pengguna.

Pengguna kad prabayar kini mampu menarik nafas lega apabila caj GST yang dikenakan ke atas pembelian nilai isian semula dikreditkan kembali ke dalam akaun prabayar mereka dalam tempoh 24 jam.

Jangan terkeliru, pemberian rebat itu tidak bermaksud GST dalam kad prabayar telah dihapuskan. Perlaksanaan rebat itu bertujuan memberi manfaat kepada kira-kira 20 juta rakyat Malaysia, yang merupakan pelanggan pelan prabayar.

Pelaksanaan rebat itu hanya diperuntukkan kepada warganegara Malaysia.

Kesepakatan kerajaan dan syarikat telekomunikasi memberikan rebat GST itu disambut baik oleh rakyat, namun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata pemberian rebat yang disifatkannya sebagai ‘memulangkan hak’ pengguna, yang mengambil masa, memberi kesan kepada sesetengah pihak terutamanya golongan pelajar yang mahu mengaktifkan pakej tertentu.

Pengguna yang membeli isian semula prabayar RM10 dengan jumlah diperoleh RM9.43 itu tidak mencukupi untuk mengaktifkan data Internet, dan terpaksa menunggu hingga rebat dikreditkan semula.

“Perlaksanaan rebat ini memang disambut baik kerana sekurang-kurangnya pengguna mendapat apa yang mereka bayar daripada tidak dapat langsung, tetapi mereka tidak begitu gembira kerana terpaksa menunggu masa agak lama untuk mendapat balik rebat.

“Itu antara masalah yang timbul dan ada yang mengadu… mungkin ia kelihatan remeh kepada mereka yang mempunyai wang tetapi tidak kepada mereka yang memerlukan. Jadi kenalah kaji semula kesannya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

SEGERAKAN PEMBERIAN REBAT

Nadzim berkata pihak telekomunikasi seharusnya menyegerakan pemberian rebat dan tidak perlu menunggu masa hingga 24 jam untuk melakukannya.

“Bagi saya syarikat telco seharusnya bersikap lebih terbuka dan berjiwa besar dengan memberikan sahaja rebat kepada semua tanpa mengira warganegara kerana mereka yang lain juga membayar servis telco tersebut.

“Syarikat telco berkira sangat nampaknya… mereka tidak rugi apa-apa kerana mereka untung berbilion Ringgit selama ini dan mengapa tidak mereka menghargai pengguna yang selama ini menyokong servis mereka?,” katanya.

Nadzim berkata syarikat telco seharusnya berlumba-lumba memberi perkhidmatan terbaik bagi menambat hati pengguna agar setia dengan mereka, tetapi senario kini berbeza apabila mereka hanya memberikan perkhidmatan yang ala kadar.

Katanya kos panggilan yang ditawarkan telco juga tidak setimpal dan tidak murah berbanding beberapa negara lain, contohnya di Arab Saudi.

“Syarikat telco sepatutnya perbaiki kualiti termasuk masalah ‘drop call’, liputan kawasan yang terhad atau tidak ada langsung, suara tidak jelas, perkhidmatan Internet perlahan… telco perlu lebih bertanggungjawab,” katanya.

Nadzim berharap pemberian rebat pelan prabayar itu diteruskan dan dikekalkan pada tahun hadapan serta tahun-tahun seterusnya.


Pelaksanaan rebat GST untuk tambah nilai prabayar, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2016 pada Oktober tahun lepas, bermula pada 1 Jan sehingga 31 Dis tahun ini.

Mengikut garis panduan berkaitan, sebanyak RM0.57 dipotong daripada setiap pembelian tambah nilai RM10, RM1.70 dari RM30 dan RM2.83 dari RM50, sebelum jumlah yang dipotong itu dikreditkan semula.

MASALAH LAIN

Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Siti Rahayu Zakaria pula berkata tidak mustahil terdapat pekerja asing yang turut memperoleh rebat berkenaan berikutan nombor telefon mereka didaftarkan di bawah nama majikan berwarganegara Malaysia.

Katanya terdapat majikan atau ejen pekerja asing menggunakan perkhidmatan pelan prabayar secara pukal untuk kegunaan pekerja mereka.

“Kalau pekerja asing itu mendaftar atas nama mereka tidak menjadi masalah tetapi sekiranya di bawah nama ejen negara ini, semestinya nombor itu layak mendapat rebat enam peratus dan itu tidak adil.

“Maka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu melihat semula kaedah penguatkuasaan dan syarat pemilikan nombor prabayar bagi mengelakkan pekerja asing mendapat manfaat yang sama,” katanya.

Katanya masalah lain yang timbul, terutamanya kredit tidak mencukupi untuk mengaktifkan pelan, tidak seharusnya berlaku kerana pihak telekomunikasi sepatutnya menyusun dan bersedia dengan perancangan efektif dari awal, sejurus langkah pemberian rebat diperkenalkan.

Selain itu, penerangan berterusan kepada pengguna mengenai kaedah pembayaran rebat perlu dipergiatkan kerana masih ramai yang keliru dan tidak faham pelaksanaannya, katanya.

REAKSI PENGGUNA

Sementara itu, seorang pengguna kad prabayar, Ahmad Aqbal Lokman, 29, berkata pemberian rebat tidak praktikal dan menyulitkan pengguna kerana terpaksa menunggu bagi mendapatkan semula caj enam peratus yang dikenakan.

“Tidak perlu rebat kepada pengguna prabayar kerana biasanya minimum pengguna akan isi semula dua kali atau lebih dalam seminggu bagi pengguna tegar. Bagi saya apa yang lebih praktikal adalah syarikat telekomunikasi mansuhkan sahaja caj enam peratus itu… itu lebih mudah dan tidak menyusahkan,” kata ahli perniagaan itu.

Berbeza dengan seorang surirumah, Sadaqiah Abdul Rahman, 34, beliau tidak mempunyai masalah dengan perlaksanaan rebat, tetapi berpendapat tempoh pemberian rebat perlu dipercepatkan.

“Apa yang penting saya dapat kembali wang saya tetapi 24 jam terlalu lama… sepatutnya kurang dari setengah jam atau paling lama pun satu jam,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori