IPOH – “Alhamdulillah…penantian sejak sekian lama kini tercapai”, demikian luahan gembira Abdul Raof Abdul Rashid, pesawah di Changkat Lada, kira-kira 70 kilometer dari sini berikutan pemberian insentif tambahan RM50 bagi setiap tan padi bersih.
Abdul Raof, 60, ketika ditemui Bernama di rumahnya ternyata sangat gembira dan bersyukur kerana insentif berkenaan sedikit sebanyak meningkatkan semangatnya untuk lebih produktif dalam mengeluarkan hasil padi.
“Sebagai seorang petani yang telah lama bergiat dalam industri ini, saya dan rakan-rakan lain telah lama menanti kenaikan insentif berkenaan kerana ia sudah lama tidak dinaikkan,” katanya.
Abdul Raof yang menjadi petani sejak 2007 mempunyai sawah padi seluas 322 hektar di kawasan kolompok 3, Changkat Lada.
Sementara itu, Zon Huri, 50, berkata insentif RM50 itu sudah lama dinantikan memandangkan harga RM248.10 bagi satu metrik tan bersih padi, tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.
“Dengan penambahan RM50 ia amat melegakan saya. Tambahan pula kadang-kadang hasil padi tidak menentu mengikut musim.
“Kami (pesawah) masih berharap agar kerajaan dapat memantau semula harga lantai penjualan beras kepada pengilang,” katanya yang mempunyai hampir dua hektar sawah padi di sekitar Bota Kiri.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 semalam, mengumumkan kerajaan memperuntuk tambahan tunai sebanyak RM50 bagi setiap satu tan metrik padi bersih sebagai insentif input pengeluaran padi bagi terus membela nasib para pesawah serta meningkatkan pengeluaran padi. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]KW63LbG-Dac[/wpdevart_youtube]