SEBUAH restoran Jepun, Auradaze, yang terletak di Leamington telah melaksanakan peraturan yang ketat, melarang pelanggan menggunakan telefon bimbit.
Jika pelanggan ingkar, kakitangan restoran itu tidak teragak-agak untuk mengusir pelanggan terbabit. Ia memang satu peraturan yang ketat.
Bagaimanapun peraturan berkenaan dianggap sebagai kontroversi dan menyebabkan pelanggan menyuarakan ketidakpuasan mereka dalam laman web TripAdvisory.
Menurut pemiliknya, Darren Yates, amalan berkenaan adalah perkara biasa di Asia Tenggara dan kebanyakan pelanggannya suka dengan konsep zon bebas telefon.
“Restoran ini tidak besar dan ia adalah mengenai etika. Jika anda mahu menatap telefon anda, lebih baik anda duduk di kerusi panjang di luar.
“Bukan semua orang suka apa yang kita lakukan, tetapi saya tidak kisah, ia berkenaan adab. Saya tidak boleh puaskan semua orang tetapi majoriti sukakan konsep ini,’’ katanya dengan panjang lebar.
Antara ketidakpuasan yang disuarakan oleh orang ramai ialah mengenai kakitangan restoran itu yang dikatakan agresif dan kurang ajar.
Salah seorang yang menyuarakan kemarahan dalam TripAdvisor ialah Jericho D dari Birmingham yang dihalau selepas salah seorang rakannya yang tidak menyedari mengenai peraturan restoran itu telah memeriksa telefon bimbitnya.
“Mereka bukan menerangkan polisi restoran kepada rakan saya sebaliknya pelayan telah memarahinya selama beberapa minit. Pelayan juga tidak mahu melayan kami dan meminta kami keluar,’’ katanya. – MYNEWSHUB.CC