BUENOS AIRES – Presiden Argentina, Mauricio Macri bakal mendermakan seluruh gajinya kepada sebuah operator dapur umum untuk golongan gelandangan, menurut laporan akhbar tempatan, Clarin pada Jumaat.
Sebagai presiden yang baharu dilantik pada 10 Disember tahun lalu, Macri kini berusia 56 tahun itu mendapat gaji bulanan sebanyak 100,000 peso atau RM33,420 sebelum dipotong segala cukai pendapatan wajib atas dirinya.
Baki bersih gajinya 61,000 peso atau RM20,400 itu akan diserah kepada sebuah badan amal swasta mengelolakan makanan percuma kepada 1,800 orang setiap hari di Villa Soldati, satu kawasan miskin di selatan Buenos Aires.
Ketika beliau pernah menjadi ketua kerajaan wilayah autonomi bandar raya Buenos Aires, Macri juga melakukan perkara yang sama sepanjang perkhidmatan dari 2007 sehingga menang pilihan raya presiden pada 2015 lalu.
Presiden pemurah itu dilaporkan aktif melakukan serangkaian langkah pembaharuan dalam bidang perekonomian sejak dilantik mengambil alih kuasa daripada penyandang jawatan sebelumnya, Cristina Fernandez de Kirchner.
Untuk makluman, bekas Presiden Uruguay, Jose Mujica pernah menggemparkan dunia apabila mendermakan sebahagian besar gaji bulanannya sebanyak 250,600 peso (RM37,000) untuk pelbagai badan amal tempatan.
Malah sepanjang menjadi ketua negara dari 2010 sehingga 2015, beliau menolak tinggal di kediaman rasmi serta cuma memiliki tiga buah traktor kebun dan dua buah Volkswagen Bettle 1987 bernilai 116,375 peso (RM17,213).
Nota: Perbandingan rekod gaji pemimpin negara dari seluruh dunia, boleh klik menerusi pautan ini Paywizard.org untuk rujukan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA