SEREMBAN – Putera bongsu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Yang Amat Mulia Tunku Alif Husain Saifuddin al-Amin ibni Tuanku Muhriz disahkan mangkat pada pukul 11.55 pagi Jumaat.
Berita dukacita tersebut disahkan sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mat Ali Hassan kepada agensi berita rasmi Bernama namun beliau tidak menyatakan perkara itu dengan lebih lanjut.
Almarhum bagaimanapun dilaporkan mangkat akibat gering ketika menerima rawatan di wad diraja Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur.
Jenazah putera ini dijangka dibawa terus ke Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah dekat sini untuk diurus dan kemudian upacara penghormatan terakhir yang bakal dimaklumkan kelak.
Difahamkan pihak Rejimen Semboyan Diraja Tentera Darat Malaysia akan membantu pihak istana dalam urusan pengkebumian rasmi almarhum yang mangkat pada usia baharu 31 tahun.
Tunku Alif Husain Saifuddin al-Amin diputerakan di Hospital Kuala Lumpur pada 3 September 1984 dan merupakan putera ketiga Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir
Kemangkatan putera bongsu ini nyata amat dirasai kerabat diraja kerana ia kebetulan berlaku selang sehari selepas ulang tahun Hari Keputeraan Ke-68 ayahandanya sendiri pada Khamis.
Tuanku Muhriz dan pasangan baginda, Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut dikurniakan dua lagi putera iaitu Tunku Ali Redhaudin, 38; dan Tunku Zain Al-‘Abidin, 33.
Sehari sebelum itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan turut mengadakan majlis bacaan Yassin dan doa selamat untuk kesejahteraan anakanda Yang di-Pertuan Besar tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA