KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memohon agar kerajaan memartabat Askar Wataniah (AW) dengan mengiktirafnya sebagai badan sukarela tertinggi negara.
Menurut baginda, sebagai barisan kedua pertahanan negara, peranan dan tanggungjawab AW sangat penting dan oleh itu ia tidak boleh dibandingkan dengan badan sukarela lain.
“Askar Wataniah dikehendaki mengaugmentasikan angkatan tetap apabila keadaan atau situasi memerlukan selain menjadi mata dan telinga dan sumber perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Askar Wataniah juga bertanggungjawab mempertahankan kawasan tanggungjawabnya seperti kampung, pekan, daerah dan negeri,” titah Tuanku Syed Faizuddin ketika merasmikan Latihan Sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah di sini semalam.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan baginda berdua disambut Timbalan Komander Rejimen tersebut, Lt Kol Azhar Ahmad. Panglima Wilayah 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Rosli Yob turut hadir.
Baginda selaku Tuanku Komander Rejimen 504 AW yang berpangkalan di Kem Bukit Ketri, Padang Besar menitahkan bahawa peranan dan tugas AW perlu ditransformasikan sewajarnya agar hala tuju dan masa depan AW menjadi sebuah ketumbukan yang mempunyai ciri-ciri dan keupayaan setanding angkatan tetap.
“Askar Wataniah mestilah mempunyai keupayaan untuk mengaugmentasikan angkatan tetap dan boleh beroperasi secara bersendirian termasuk melaksanakan misi dalam kawasan tanggungjawabnya,” titah baginda. – BERNAMA