KUALA LUMPUR – Rujuk jabatan agama dan jangan percaya ‘bulat-bulat’ dakwah di media sosial walaupun tokoh itu berpenampilan ‘warak’, nasihat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau khuatir kebebasan bersuara di media sosial memberi peluang kepada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mendoktrinasikan fahaman sesat.
“Sekarang ini, sangat mudah untuk menipu, ada pula mereka yang jahat ambil peluang tipu soal-soal agama atas sebab tersendiri.
“Saya risau, mereka yang baharu jinak-jinak dalam bidang agama, bersemangat untuk belajar, mencari jalan mudah, berguru dengan video-video di YouTube contohnya, tanpa penjelasan sebenar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video-video ceramah yang menjadi fenomena dan dikongsi di laman-laman media sosial.
Asyraf Wajdi berkata penularan dakwah bebas melalui media sosial jika tidak ditapis dikhuatiri boleh mengundang kecenderungan perlakuan ekstremisme.
“Pada zaman sekarang bukan sahaja ada ‘Ustaz YouTube’ malah ‘Ustaz WhatsApp’ pun wujud serta lain-lain lagi, di mana mereka hanya perlu merakamkan video mereka dan sebarkan kepada orang ramai melalui laman sosial.
“Saya lihat masyarakat tidak lagi membaca dan hanya hendak mendapatkan maklumat dengan melihat rakaman video dan itu sudah mencukupi bagi mereka,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya jawatan ‘pemantau’ diwujudkan melibatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa agama supaya kegiatan ini dapat dikekang. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]rldQydHa86k[/wpdevart_youtube]