KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki pada mulanya menyangka suara tangisan yang didengarnya adalah suara anak kucing, tetapi sebenarnya ia merupakan suara seorang bayi.
Bayi lelaki yang masih bertali pusat itu dibaluti dengan baju orang dewasa yang diletak di dalam beg plastik berhampiran longkang di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Willy Richard berkata bayi itu dijumpai remaja berusia 16 tahun berkenaan pada pukul 5.05 petang.
“Remaja itu yang dalam perjalanan pulang dari surau dengan menaiki basikal mencari suara tangisan tersebut yang disangkanya dari seekor kucing. Dia kemudian bertemu dengan bungkusan plastik yang kelihatan bergerak-gerak di atas tembok berhampiran longkang itu.
“Sebaik membuka plastik itu, remaja itu terkejut melihat seorang bayi lelaki yang masih hidup dalam plastik tersebut. Terdapat kotoran kehitaman di badan bayi itu yang dipercayai najisnya sewaktu dilahirkan,” katanya kepada Bernama.
Willy berkata remaja itu kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada bapanya yang berada di surau di kawasan perumahan berkenaan.
“Bapa remaja itu terus ke tempat tersebut bersama kawannya yang merupakan seorang doktor. Doktor itu memotong tali pusat bayi berkenaan dan membawa bayi itu ke Hospital Kajang,” katanya.
Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan mengenai bayi itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat. – BERNAMA