PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ratusan orang hadir di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi untuk menyertai majlis Tahlil dan Bacaan Yasin sempena memperingati 40 tahun Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Najib yang berbaju Melayu berwarna kuning dan sampin berwarna kelabu tiba pada pukul 7 malam dengan diiringi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Majlis dimulakan dengan sedikit jamuan ringan dan diteruskan dengan solat Maghrib.
Ia kemudian diteruskan dengan bacaan Yasin, tahlil, doa selamat serta solat Isyak yang diketuai Imam Besar Masjid Jamek, Sheikh Mohd. Idris Mohd. Al-Mashrafi.
Seperti yang diketahui, pada 14 Januari 1976, seluruh Malaysia telah dikejutkan dengan kemangkatan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussain.
Sumbangan Allahyarham sebagai arkitek pembangunan Bangsa Melayu sangat menyerlah yang mana acuan yang diterapkan olehnya kini diwarisi oleh anak sulungnya yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Allahyarham unggul dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia dan juga merupakan ikon yang memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru.
Pada tahun ini, maka genaplah 40 tahun perginya negarawan yang dikagumi dan kami sentiasa mendoakan kesejahteraan ke atas roh Allayarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussain. -MYNEWSHUB.CC