KUALA LUMPUR – Jaguh bina badan negara, Sazali Samad yang dikenakan hukuman gantung empat tahun bermula 22 Sept lepas selepas gagal dalam ujian doping sebelum ini, akan menfailkan rayuan kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), esok.
Pengurus peribadi Sazali, Hashrine Hashim yang juga isteri kepada jaguh bina badan negara itu memaklumkan beliau akan menemani Sazali selain seorang peguam yang dilantik oleh mereka untuk mengemukakan rayuan di pejabat PBBM, di sini.
“Kami masih mempunyai tempoh sehingga Ahad ini untuk mengemukakan rayuan kepada PBBM.
“Setelah mengadakan perbincangan dengan peguam yang dilantik, adalah lebih baik kami menfailkan rayuan kerana saya merasakan hukuman empat tahun yang dikenakan ke atas Sazali sebelum ini adalah terlalu berat,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Dalam pada itu, Hashrine menjelaskan Sazali tetap menjalani latihan seperti biasa di Gimnasium Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil ketika ini namun mengakui agak tertekan dengan hukuman yang dikenakan selepas gagal dalam ujian doping sebelum ini.
“Saya melihat Sazali mempunyai keinginan yang sangat tinggi untuk terus menyumbang bakti kepada negara dan saya berharap agar PBBM agar dapat mengurangkan hukuman tersebut,” katanya.
Timbalan Presiden PBBM, Datuk Dr Ahmad Badrus Othman dalam sidang media sebelum ini memaklumkan Sazali digantung empat tahun selepas gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 Sept lepas.
Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali, iaitu diMelaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012), Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014).
Anak jati Batu Pahat, Johor itu yang digelar ‘Orang Besi Malaysia’, pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]8QPha5NOeD0[/wpdevart_youtube]