SEREMBAN – Sebuah kedai runcit dua tingkat di Jalan BSS 1/1, Taman Seremban Selatan dekat sini, musnah dalam satu kebakaran awal hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang Mohamad Faiz Sulaiman berkata kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian belakang kedai sebelum merebak ke bahagian lain kedai terbabit.
Bagaimanapun, empat pekerja kedai runcit berkenaan yang tinggal di tingkat atas sempat menyelamatkan diri.
Beliau berkata pihaknya menghantar dua jentera dan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dan Seremban selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.23 pagi dan selepas sampai ke lokasi, kebakaran itu dapat dikawal sejam kemudian.
Sementara itu, di Nilai, enam kabin pekerja kilang besi di Kawasan Perindustrian Nilai musnah sepenuhnya dalam kebakaran 9.40 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Ahmad Ridwan Yahya berkata tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.40 malam itu.
“Pihak bomba dengan sebuah jentera dan sembilan anggota bomba tiba di lokasi kira-kira jam 10 malam dan dapat memadamkan kebakaran sepenuhnya dalam tempoh sejam. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.- BERNAMA
[wpdevart_youtube]dabw6Q1UunE[/wpdevart_youtube]