KUALA TERENGGANU – Seorang lagi mangsa demam denggi di Terengganu meninggal dunia hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang maut adalah seramai enam orang setakat ini tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata mangsa terbaharu itu berasal dari Dungun yang dibawa ke Hospital Sultanah Zahirah petang semalam dalam keadaan kritikal.
“Saya nasihat orang ramai supaya jangan lambat bertindak. Kalau rasa demam, jangan tunggu dan terus merujuk kepada hospital supaya langkah seterusnya dapat diambil,” katanya kepada pemberita pada program gotong-royong mencegah nyamuk aedes di sini Khamis.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan telah melulus peruntukan segera sebanyak RM40,000 bagi membina semula rumah mangsa kebakaran, Kamariah Mamat, 51, dari Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir dekat sini.
Katanya selain sumbangan kerajaan, ada juga pihak lain yang tampil menyumbang sebanyak RM25,000 bagi membina rumah berkenaan secara gotong-royong.
Kamariah ketika ditemui Bernama mengucapkan penghargaan di atas keperihatinan kerajaan negeri dengan memberi bantuan segera kepada keluarganya.
Beliau berkata ketika kejadian 22 Nov lepas itu beliau dan suaminya Mohammad Chik, 56, serta empat orang anak mereka tidak berada di rumah kerana pergi ke rumah saudaranya di Seremban, Negeri Sembilan.
“Sementara rumah baru siap dibina, saya menumpang di rumah emak saya di Kampung Banggol Pauh tidak berapa jauh dari sini,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]Fa-F7u-de1o[/wpdevart_youtube]