JERANTUT – Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di daerah ini, dengan penahanan tiga lelaki dalam Op Tapis di sebuah hotel bajet di sini pada tengah hari Jumaat lalu.
Ketua Polis Jerantut Supt Azid Ismail berkata kesemua suspek berusia antara 26 hingga 36 tahun, dipercayai baru sebulan terlibat dalam kegiatan itu dengan menjadikan hotel berkenaan sebagai pusat transit.
“Hasil serbuan pada pukul 12 tengah hari itu polis menemui sejumlah dadah jenis heroin seberat 39.85 gram, syabu (4.61 gram) dan 32 biji pil kuda.
“Pemeriksaan lanjut pada salah seorang suspek turut menemui syabu dan pil kuda dalam seluar yang dipakai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini, hari ini.
Turut dirampas dalam serbuan itu ialah kereta jenis Toyota Camry, dan Isuzu Trooper, sebuah motosikal dan wang tunai RM1,417 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggar RM30,000.
Azid berkata hasil ujian air kencing terhadap semua suspek yang tidak bekerja mendapati mereka positif dadah dengan salah seorang daripadanya turut mempunyai rekod lampau kesalahan mengedar dadah.
Kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) akta yang sama. – BERNAMA