PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membentang hasil keputusan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang pada Selasa menutup kes dana derma RM2 bilion dan SRC International.
Laporan keputusan tersebut bakal dibentangkan kepada badan bebas yang memantau perjalanan penyiasatan suruhanjaya berkenaan selama ini iaitu Panel Penilaian Operasi (PPO) untuk mendapatkan pandangannya.
Satu kenyataan rasmi SPRM dikeluarkan di sini pada Rabu berkata, keputusan itu dibuat pengurusan tertinggi SPRM dan PPO antara lain berfungsi untuk mengkaji kes-kes SPRM yang ditolak oleh pejabat Peguam Negara.
Panel itu dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Dr. Hamid Bugo sebagai pengerusi yang baharu dilantik menerusi penyampaian watikah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.
Anggotanya ialah Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengerusi Bank Islam (Malaysia) Berhad, Datuk Zamani Abdul Ghani; mantan Timbalan Ketua Audit Negara, Datuk Azizah Arshad. Bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah;
Pengarah Institut Penyelidikan Perakaunan Universiti Teknologi Mara, Prof. Dr. Normah Omar; Prof. Madya Fakulti Kriminologi Universiti Sains Malaysia, Dr. Sundramoorthy M. Pathamanathan dan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Lim Chee Wee.
Proses pembentangan kes tutup ini dikatakan adalah prosedur kelaziman untuk memastikan SPRM kekal status intergritinya sebagai sebuah badan penyiasatan bebas yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak luar.
Biasanya jika panel tersebut mendapati ada ruangan untuk siasatan lebih lanjut, ia akan mengarahkan semula SPRM bagi meneruskan siasatan dan mengemukakan kertas siasatan baharu kepada pejabat Peguam Negara.
SPRM diwujudkan pada 2009 ada lima badan bebas iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Jawatankuasa Aduan serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA