DUNGUN – Polis memberkas sepasang suami isteri bersama sejumlah dadah dipercayai pil kuda bernilai kira-kira RM 13,200 di Ketengah Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata serbuan pada Ahad lepas itu dilakukan selepas pmeriksaan badan ke atas suspek yang bekerja sebagai sebagai buruh namun tiada bahan terlarang dijumpai.
“Setelah memperkenalkan diri dan pemeriksaan badan kita tidak menemui barang salah daripada lelaki berkenaan sebelum pihak polis bertanya tempat tinggalnya dan suspek menunjukkan rumah sewanya.
Hasil pemeriksaan di dalam rumah sewa mereka di Kawasan Kerteh 5, pihak polis menemui 1,194 biji pil dipercayai jenis methamphetamine yang disorokkan di dalam bakul pada bahagian dapur rumah berkenaan,” katanya kepada Bernama.
Ahmad Zailani berkata pihaknya turut menahan isteri suspek berusia 25 tahun yang berada di dalam kediaman berkenaan.
Katanya lelaki berusia 27 tahun itu disyaki aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lepas dan hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati mereka berdua negatif dadah.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek memperolehi bekalan dadah dari negara jiran untuk edaran di sekitar Dungun.
Pihak polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda dan sebuah motosikal jenis Yamaha Nouvo Lc.
Beliau berkata lelaki berkenaan juga mempuyai rekod lampau kerana memiliki dadah dan kedua-dua suspek direman sehingga 31 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA