HEBOH se-Malaya apabila terdapat sejumlah ibu-ibu mengadakan satu perhimpunan beramai-ramai menyusukan anak-anak berserta media turut membuat liputan.
Sekadar pemahaman saya, tujuan diadakan ‘flashmob’ konon untuk menggalakkan ibu tetap menyusukan anak dengan susu badan waima di tempat awam. Kerana terdapat ibu yang malu, lantas menggunakan susu bancuhan.
Dari satu perspektif, ianya dilihat satu kempen yang positif. Ia bersifat galakan untuk ibu-ibu menyusukan anak dengam susu badan.
Cuma, saya ada beberapa teguran:
a) Nak berkempen silakan, tetapi tidak perlulah sehingga menyusukan anak di hadapan media-media yang merakam aksi kalian. Payu dara kalian bukan untuk tontonan umum. Namun saya yakin kalian menutupi/melindunginya dengan baik. Moga-moga tiada rakaman berniat jahat -insyaAllah.
b) Ibu-ibu yang dikasihi sekelian, Islam adalah agama yang berdisiplin. Pada masa yang sama, terdapat juga kelonggaran khususnya pada saat yang memerlukan. Oleh itu, tindakan kita perlu lebih berimbang.
c) Menjaga aurat adalah salah satu disiplin dan tanggungjawab setiap muslim kepada Allah. Manakala menyusukan anak merupakan tanggungjawab seorang ibu kepada anak. Maka terdapat dua tanggungjawab di sini. Apabila berlaku pertembungan di antara dua tanggungjawab ini, bagaimana seorang Muslim menyikapinya?
Adakah dengan cara:
– mendedahkan payu dara sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira soal disiplin aurat?
– membiarkan anak menangis kelaparan?
Sebagai wanita muslimah, sudah tentu kalian menolak kedua-dua cara di atas. Lalu bagaimana?
d) Imbangilah antara tanggungjawab sebagai hamba Allah dan tanggungjawab sebagai ibu. Caranya mudah; bersungguh-sungguh menyusukan anak di samping bersungguh-sungguh menjaga batas aurat. Bukan dengan cara “selamba” mengeluarkan payu dara kalian tanpa menghiraukan persekitaran yang memiliki niat pelbagai.
e) Kehidupan beragama adalah suatu hal terindah bagi yang memahami. Keterbukaan dalam beragama bukan bermaksud “liberal-kan” agama sebaliknya ianya satu rukhsoh/kemudahan yang Allah sediakan untuk hamba-Nya. Maka manfaatkan keterbukaan dan kemudahan tersebut dengan disiplin agama bukan liberalisme.
Wallaahua’lam.
p/s: Kenyataan di atas bukan menuduh sesiapa, cuma ianya sekadar nasihat atas prinsip Islam itu bersaudara.
Dr. Fathul Bari bin Mat Jahya,ÂÂ
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia