KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengarahkan sebuah pusat perubatan swasta di Jitra, Kedah menambah baik dengan serta-merta prosedur discaj bayi bagi mengelakkan kejadian pertukaran bayi berulang.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian itu juga akan mengambil tindakan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 terhadap pusat perubatan swasta itu setelah hasil siasatan dimuktamadkan.
Beliau berkata siasatan awal kementerian mendapati kejadian yang dilaporkan tersebut adalah benar, dan terdapat kelemahan dari segi pengendalian bayi semasa di wad dan ketidakpatuhan terhadap prosedur discaj.
“Walaupun pihak hospital swasta terbabit telah mengambil langkah untuk menyelesaikan isu pertukaran bayi-bayi terlibat, kementerian tetap memandang serius insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Selasa lepas, sepasang suami isteri terkejut apabila menerima panggilan daripada pusat perubatan swasta itu memaklumkan bayi mereka yang baru dilahirkan tertukar dengan anak orang lain.
Bayi yang merupakan anak kelima pasangan tersebut, dilahirkan pada pukul 4.04 petang Selasa lepas dan hanya dimaklumkan mengenai kesilapan tersebut lima jam selepas mereka membawa bayi berkenaan pulang ke rumah.
Dr Noor Hisham berkata insiden tersebut tidak sewajarnya berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan swasta yang berlesen mengikut Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586].
Katanya Akta 586 dan Peraturan-peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006 telah menetapkan keperluan perundangan berkaitan pengenalan diri pesakit.
Beliau juga mengingatkan pihak hospital swasta supaya memastikan mana-mana ibu dan bayinya yang baru lahir diberi pengenalan diri melalui tag nama atau apa-apa peranti lain yang sesuai, yang mengandungi maklumat termasuk nama penuh ibu serta tarikh lahir dan jantina bayi.
“Tanda pengenalan diri ini perlu disemak terutamanya semasa apa-apa pengendalian bayi dan sebelum meninggalkan bilik bersalin atau wad,” katanya.
Beliau berharap pekeliling yang dikeluarkan ini merangkumi proses sebelum kelahiran, semasa kelahiran, selepas kelahiran, semasa discaj dan proses discaj dapat diguna pakai oleh semua hospital swasta di negara ini sebagai panduan atau rujukan dalam memastikan kawalan keselamatan bayi.
Dr Noor Hisham berkata kementerian juga sangat mengalu-alukan kerjasama daripada orang awam terhadap pematuhan peruntukan perundangan berkaitan pengenalan diri ini oleh mana-mana fasiliti kesihatan di Malaysia.
“Sebagai contoh memastikan pihak hospital menunjukkan pengenalan diri tersebut setiap kali apabila berlaku pergerakan bayi ketika dipisahkan dan dikembalikan kepada ibu mereka,” katanya.
Beliau turut berharap agar pihak hospital swasta tersebut dapat melaksanakan tatacara penyelesaian yang sebaik-baiknya bagi semua pihak yang terlibat dengan insiden tersebut. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]jE0uMbcX2bA[/wpdevart_youtube]