MELAKA, 3 Jan (Bernama) — Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan menanam 13,000 pokok di 13 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia tahun ini, selaras dengan komitmen syarikat pembekalan elektrik itu terhadap usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata inisiatif di bawah program ‘Tree for a Tree’ itu, akan melibatkan penanaman 1,000 batang pokok dengan kos antara RM100,000 dan RM120,000 di setiap lokasi terpilih.
“Program ini selaras dengan slogan TNB, ‘Better Environment, Brighter Future’ dan antara lokasi yang akan dilaksanakan program ini termasuk taman rekreasi dan kawasan tumpuan ramai.
“Inisiatif ini sebenarnya bermula di Kuantan pada Ogos tahun lepas dan Melaka adalah lokasi kedua sebelum diteruskan di Kangar, dan seterusnya di lokasi terlibat,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program ‘Tree for a Tree’ TNB, di Dataran 1Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata peruntukan itu juga termasuk tajaan bagi menyelenggara dan baja selama tiga bulan, sebelum penjagaan semua pokok tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan di lokasi terlibat.
Program itu dirasmikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ismail Othman, dan turut dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Anggota Parlimen Tangga Batu Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
Pada majlis itu, seramai 300 pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini, menanam 1,000 anak pokok antaranya bintagor laut, balau laut, bebaru dan Melaka.
Mohd Aminuddin berkata pemilihan pokok yang akan ditanam bergantung kepada jenis tanah di setiap lokasi terpilih bagi memastikan pokok itu dalam keadaan baik.
“TNB juga akan memantau perkembangan pokok itu selama tiga tahun dan bantuan akan diberikan kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata kerajaan negeri akan menanam kira-kira 40,000 pokok di seluruh Melaka, selaras dengan usaha kerajaan ke arah amalan negeri teknologi hijau pada 2020.
Daripada jumlah itu, katanya kira-kira 20,000 pokok akan ditanam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di beberapa lokasi termasuk di sepanjang Sungai Melaka, manakala selebihnya oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Alor Gajah.
“Tahap landskap di Melaka dilihat semakin baik dan semua pihak berkuasa tempatan di negeri ini perlu mengambil tindakan serius dalam usaha penjagaan dan pemuliharaan pokok di seluruh Melaka,” katanya. — BERNAMA