TROFI juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 malam ini menjadi milik lagu Potret nyanyian Akim & The Majistret.
Lagu nukilan komposer Hang Nadim dan lirik oleh Kamar Empayer ini melayakkan mereka memenangi wang tunai RM50,000 dan trofi AJL.
Faizal Tahir menerusi lagu Assalammualaikum yang dicipta olehnya manakala lirik ditulisnya bersama Mike Chan, Omar K, Ezra Kong dan Audi Mok pula dinobatkan di tempat kedua sekaligus menerima RM35,000 dan trofi AJL.
Manakala tempat ketiga yang menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi AJL, milik lagu Hanya Namamu yang dicipta sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim dan dinyanyikan anak didiknya, Caliph Buskers.
Tahun ini Dayang Nurfaizah mengulangi kecemerlangannya di AJL tahun lepas apabila trofi Vokal Terbaik yang menjanjikan wang tunai RM12,000 masih jadi miliknya, sementara kategori Persembahan Terbaik yang turut menawarkan trofi dan hadiah wang tunai berjumlah sama dimenangi  Akim & The Majistret.
Anugerah Qu Puteh Diva yang diperkenalkan buat kali pertama pada tahun ini bagi menghargai juara-juara AJL sepanjang 30 tahun ia diadakan, menjadi milik Datuk Siti Nurhaliza. Kemenangan ini sudah dijangka memandangkan pemilihan pemenang dibuat berdasarkan undian tertinggi oleh peminat menerusi laman web rasmi Anugerah Juara Lagu ke-30.
Dalam pada itu, dua ikon seni yang bertanggungjawab memperkenalkan program hiburan Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL); serta mencipta lagu tema program ini iaitu Tan Sri Ahmad Othman Merican dan Datuk Ooi Eow Jin turut dihargai menerusi trofi khas yang disampaikan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri FD Iskandar. – MYNEWSHUB.CC