RAKAMAN video amatur yang memapar seorang pekerja di pusat perlindungan hidupan liar menumbuk seekor harimau di Kanchanaburi, Thailand menimbulkan kemarahan netizen.
Menerusi perkongsian daripada pengguna Facebook Pranay Dalmia, rakaman tersebut diambil ketika dia berkunjung di Tiger Temple Thailand pada awal bulan ini.
Video pada mulanya memaparkan beberapa ekor harimau yang ditambat untuk tontonan pengunjung.
Namun tidak beberapa lama kemudian, salah seorang pekerja pusat perlindungan berkenaan dilihat mengendalikan salah seekor harimau dengan kasar sebelum menumbuk sisi kanan kepala harimau tersebut.
Harimau ditumbuk pekerja pusat hidupan liar di… oleh mynewshub
“Saya melawat Tiger Temple Thailand beberapa hari lalu. Sungguh menyedihkan apabila melihat harimau di sini dilayan dengan begitu teruk.
“Saya lihat beberapa harimau ditarik ekor mereka dan seekor harimau ditumbuk di muka,†jelas Pranay pada huraian video tersebut, tulis Pranay di pautan videonya.
Perbuatan zalim pekerja itu mendapat cemuhan daripada pengguna media sosial dan rata-ratanya meminta pihak pusat jagaan haiwan tersebut memecat pekerja terbabit.
Sehingga kini, video itu telah ditonton melebihi 7 juta kali di Facebook.
Sementara itu, pihak Tiger Temple Thailand melalui laman Facebook rasmi mereka mengucapkan terima kasih kepada Pranay kerana merakam video berkenaan.
Pusat perlindungan itu turut menegaskan bahawa insiden sedemikian jarang berlaku dan mereka berusaha untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.-MYNEWSHUB.CC