Sanggup bersembunyi di lapangan terbang selama seminggu semata-mata mahu memastikan bayi yang dilahirkannya mendapat taraf penduduk tetap di Hong Kong.
Itu yang dilakukan oleh seorang wanita, Xie Maoling, yang berusia 26 tahun.
Dia bagaimanapun dihukum penjara enam bulan oleh hakim selepas didapati sengaja bersembunyi di lapangan terbang itu.
Menurut laporan, Xie berada di Hong Kong untuk seketika selepas terbang dari Bangladesh melalui pesawat Dragonair pada 14 Julai tahun lepas.
Dia sepatutnya menaiki pesawat untuk pulang ke Guangzhou pada petang yang sama namun Xie memaklumkan kepada kakitangan pesawat bahawa dia tidak sihat.
Ia menyebabkan penerbangan itu ditunda selama 40 minit bagi memberi ruang kepada Xie mendapatkan rehat secukupnya.
Bagaimanapun Xie tidak menaiki pesawat itu sebalik berada di kawasan larangan di lapangan terbang terbabit, yang khas untuk penumpang transit.
Dia berada di situ selama tujuh hari hinggalah air ketubannya pecah.
Xie dibawa ke hospital di Hong Kong dan melahirkan anak di situ. Polis kemudiannya menahan Xie pada hari sama dia beranak.
Ketika membela diri di mahkamah, Xie berkata tujuan utama dia tidak menaiki pesawat itu adalah kerana dia tidak sihat. Hakim bagaimanapun menyifatkan Xie sengaja mencari jalan untuk menetap di Hong Kong demi anak yang bakal dilahirkan itu.
Menurut peraturan keselamatan penerbangan, jika seseorang itu membawa pasport yang sah, mereka tidak dibenarkan berada dalam kawasan terhad.