KUALA LUMPUR – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengkritik kewujudan pusat sehenti penjualan gajet dan alat telekomunikasi peniaga Melayu dan bumiputera, Mara Digital di sini.
Ketuanya, Zuraida Kamaruddin nendakwa, ia kerana pusat membeli belah IT di Menara Mara itu diwujudkan tidak lama selepas insiden pergaduhan di Low Yat.
“Apakah ini akan memberi manfaat kepada masyarakat umum apabila keistimewaan 38 peniaga telah diberi faedah untuk menerima sewa percuma selama enam bulan.
“Masih ramai lagi diluar sana yang lebih layak untuk merasai kenikmatan tersebut. Menjadi harapan agar tragedi Low Yat dan Kota Raya tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zuraida dalam pada itu mendakwa, permasalahan kaum dalam negara semakin teruk kerana sentiasa ada ruang untuk mana-mana pihak menyalakan api perkauman.
Kata beliau, pihak terbabit perlu belajar erti saling hormat-menghormati malah menyambut serta meraikan perayaan masing-masing.
“Menyambut dan meraikan perayaan masing-masing adalah simbol betapa uniknya sebuah negara Malaysia,” katanya.
Pusat sehenti penjualan gajet dan alat telekomunikasi Mara Digital yang diusahakan peniaga Melayu dan bumiputera dibuka kepada orang ramai pada 8 Disember tahun lalu.
Pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terletak di Menara Mara itu memberi satu lagi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan lebih murah dan dijamin ketulenannya di bawah satu bumbung. – mynewshub.cc