MELAKA – Seorang penunggang motosikal warga Indonesia maut selepas digilis sebuah treler membawa barangan plastik di persimpangan lampu isyarat Cheng Height, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 10.25 pagi itu, mangsa Maskuri yang umurnya masih dalam siasatan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah ekoran digilis di bahagian belakang lori berkenaan.
Beliau berkata ketika kejadian difahamkan pemandu treler yang datang dari arah Bandar Melaka menghala ke arah Alor Gajah sedang meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat berwarna hijau.
“Namun, motosikal yang ditunggang Maskuri tiba-tiba telah keluar dari bahu kiri jalan dan terus masuk ke lorong kanan lalu melanggar bahagian ‘mudguard’ belakang kiri treler tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- BERNAMA
[wpdevart_youtube]WX8_Vqkk4TQ[/wpdevart_youtube]