BAGI sesiapa yang perasan, sesuatu aneh cuba disembunyikan malah disenyapkan ramai pemimpin pembangkang ialah kisah kejayaan Tabung Haji (TH) mampu mengumumkan bonus pada 4 Februari tanpa apa-apa masalah.
Bayangkanlah sebelum tarikh itu, pihak pembangkang dengan angkuh hebat menyeru umat Islam di negara ini yang menyimpan di institusi tersebut segera mengeluarkan simpanan mereka konon TH bakal hancur muflis.
Begitulah hebat jentera siber mereka aktif menyebarkan dakyah jahat dan maklumat palsu mengenai keupayaan sebenar TH menyebabkan ramai orang tua di kampung dilaporkan sanggup menutup akaun masing-masing.
Sebenarnya isu ini sudah bermula awal tahun lalu apabila ada pegawai TH yang tidak amanah mendedahkan rancangan agensi itu membeli hartanah di Tun Razak Exchange yang bernilai RM177 juta terus daripada 1MDB.
Hakikatnya pembelian itu lebih bersifat strategi perniagaan bahkan segala transaksi dibuat cukup telus, patuh syariah dan beraudit, namun kerana ia melibatkan 1MDB yang dimomok bermasalah, maka TH dituduh GILA!
Ketika itu pemimpin terkenal PKR, Rafizi Ramli jadi juara rakyat sehinggakan segala pencerahan diberi Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Rahim dianggap sebagai tipu, temberang, bodoh, tiada otak dan apa sahaja yang buruk.
Rafizi malah dengan bongkak pada 21 Mei 2015 berkata dia akan saman TH kerana cuba gadai deposit penyimpan dan menjadikan duit simpanan ‘orang miskin’ berbilion ringgit itu sebagai cagaran untuk menyelamatkan 1MDB.
Terbaharu bulan lalu, pemimpin DAP, Nga Kor Ming dedah konon satu surat rahsia Bank Negara Malaysia kepada TH menyatakan rizab institusi itu sudah sifar dan dipercayai jutaan umat Islam khasnya yang tegar antikerajaan.
Malang sungguh apabila propaganda fitnah pembangkang menyaksikan semua pejabat TH di seluruh negara diserbu umat Islam yang marah dengan kerajaan dan segera mengeluarkan simpanan mereka tanpa fikir panjang.
Ada buat kempen menerusi media sosial selain pasang sepanduk kecam TH atau bergambar depan pejabat TH beramai-ramai menunjukkan isyarat ibu jari terbalik sebagai tanda mereka hilang kepercayaan kepada agensi itu.
Maka gembiralah pembangkang yang memang diketahui ada agenda tersirat mahu tutup institusi ternama umat Islam dengan cara pembunuhan karakter melalui pelbagai label jahat secara berterusan tanpa henti 24 jam sehari.
Ironi, rancangan busuk pembangkang akhirnya terbukti tidak benar, bukan kerana pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pada 3 Februari yang tidak dilaporkan secara luas oleh portal propembangkang.
Sebaliknya keesokan hari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bonus sebanyak lapan peratus hasil perolehan tertinggi dicatatkan dalam tempoh 52 tahun TH ditubuhkan.
Siapakah yang untung? Untuk rekod, berdasarkan akuan bersumpah Rafizi pada 10 Mei 2015, beliau memang menyimpan RM464,372 dalam akaun TH miliknya sendiri sekali gus memperoleh dividen berjumlah RM23,690.
Sekali lagi, mana pemimpin pembangkang yang selama ini beria-ia benar dakwa TH akan muflis? Sanggupkah mereka pergi berdiri di depan pejabat TH berkempen: “Ayuh Tutup Akaun Anda – TH Bakal Hancur Bankrap!â€Â
Apa yang pasti, kisah TH memberi pengajaran kepada ramai pentaksub pembangkang yang sanggup berbuat apa sahaja waima tindakan mereka sebenarnya bakal menjahanamkan diri sendiri dan menguntungkan musuh Islam.
Sekadar renungan, Rafizi pernah disaman banyak pihak kerana fitnah dan tentu ramai masih ingat apa jawapan selamba beliau apabila diberitahu dakwaan dalam kes cincin isteri Perdana Menteri itu adalah nyata tidak benar.
Tanpa rasa malu dan bersalah, Rafizi hanya berkata: “Saya hanya bergurau†dan kini mungkin kita dapat agak apakah jawapan tipikal beliau sekali lagi dalam isu TH: “Saya pun hanya bergurauâ€Â. – Mynewshub.cc/HAA
Baca: TH Umum Bonus Tahunan 5% Dan Tambahan 3%
Juga: TH Tak Jual Tanah TRX Tapi Maju Projek RM820j
Lagi: TH Mampu Bayar Dividen Tahun Ini – Ketua Audit
Dan: TH Minta Tuduhan Tidak Berasas Dihentikan