BERA – Pembinaan Rumah Bina Negara (Rumah BN) akan dilaksanakan tahun ini, dengan menyasarkan antara 800 hingga 1,000 unit di seluruh negara.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Yaakob berkata projek perintis itu akan dijalankan di Bera, Pahang; Seberang Perak, Perak dan Kinabatangan, Sabah.
“Kita akan mulakan dengan Felcra Berhad. Risda pun mula tahun ini kerana sasaran diberi 4,000 rumah menjelang 2020. Kita tidak mahu tertangguh…jadi kena mulakan dari sekarang.
“Agensi lain di bawah kementerian seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Kelantan Tengah (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) turut terlibat,”katanya kepada pemberita selepas majlis mengemping padi di Kampung Lubuk Lian, Kuala Bera di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata kementerian akan memastikan rumah berkenaan dijual pada harga mampu milik iaitu antara RM50,000 hingga RM80,000 sebuah.
“Kita cuba mengurangkan harga jualan sebab kalau boleh kita hendak bayaran ansuran bulanan yang rendah sekitar RM250 sebulan,” katanya.
Ismail Sabri berkata kementerian juga akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan tanah yang sesuai di luar bandar untuk projek Rumah BN.
Menurutnya pembinaan rumah itu penting bagi memastikan generasi kedua masyarakat luar bandar dapat memiliki kediaman sendiri yang selesa.
Selain itu, katanya, tapisan terperinci juga dilaksanakan supaya hanya belia luar bandar yang tidak memiliki rumah berhak memohon rumah itu.
Keutamaan projek di bawah Risda akan diberikan kepada anak pekebun kecil getah dan pekebun kecil bawah Risda manakala anak peserta Felcra mendapat keutamaan perumahan di bawah Felcra. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]T_-F6YURlq8[/wpdevart_youtube]