INSIDEN tragis seekor harimau belang betina yang mati selepas dilanggar dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) telah menjadi viral di media sosial.
Dalam kejadian pada 6 Februari kira-kira jam 1 pagi itu, harimau terbabit dipercayai maut selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu dari arah Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu ketika cuba melintas lebuh raya berkenaan.
Berkaitan: Harimau Yang Dilanggar Bukan Terlepas Dari Zoo Berdekatan
Menurut pemandu MPV terbabit, Syahrin Abdul Aziz, 43, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia hanya menyedari kelibat harimau tersebut ketika ianya sudah berada terlalu hampir dengan keretanya.
“Laluan itu memang gelap, memang tiada kenderaan lain selain saya… tiba-tiba dalam jarak lima meter baru saya nampak harimau itu, saya hanya sempat menjerit ‘harimau’ tetapi apakan daya saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk mengelak daripada harimau itu dilanggar,†katanya.
Selepas pelanggaran itu, dia memberhentikan kereta jenis Hyundai Starex yang dipandunya untuk melihat keadaan harimau berkenaan.

“Saya berhenti agak jauh dari tempat kejadian, sebab takut-takut ada harimau lain yang datang… selang lima minit kemudian ada kereta berhenti dekat saya, tanya apa berlaku, lepas itu dia minta dekat saya hendak ambil harimau itu saya cakap tidak boleh.
“Selepas itu, dalam 20 minit kemudian ada Peronda LPT datang lalu ambil harimau itu. Kemudian polis pula datang selepas itu saya maklumkan bahawa harimau itu telah diambil oleh Peronda LPT,†katanya seperti dilaporkan portal Sinar Harian.
Apa yang agak ‘menyayat hati’, bedah siasat mendapati harimau berkenaan sedang bunting dua ekor anak. Difahamkan, harimau spesis itu hanya tinggal sekitar 11 ekor sahaja di Semenanjung  Malaysia.
Polis mengesahkan kejadian itu dan berkata, empat penumpang dalam kenderaan terlibat termasuk pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bangkai harimau belang berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan negeri untuk tindakan lanjut. – MYNEWSHUB.CC