KOTA BHARU – Menjelajah Eropah dengan basikal. Itu rancangan pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood yang berjaya menamatkan misi kayuhannya merentasi tiga negara – Malaysia, Singapura dan Thailand, hari ini.
Penjelajahan Eropah itu dijangka mengambil masa empat bulan, dengan kos mencecah RM200,000, kata beliau.
Wan Hashim, 71; berkata beliau kini berusaha mendapatkan penajaan.
“Saya akan ‘gantung’ basikal selepas cita-cita itu tercapai,” katanya.
Hari ini beliau berjaya menyelesaikan kayuhan sejauh 8,000 kilometer merentasi tiga negara tersebut dalam masa 76 hari, melibatkan dana RM10,000 sumbangan Kerajaan Kelantan.
Misi kayuhan itu bermula pada 26 November 2015.
Bercakap kepada pemberita setibanya di sini, Wan Hashim berkata sepanjang tempoh misi berkenaan, anggota keluarganya sentiasa memberi semangat ketika beliau berdepan pelbagai cabaran.
“Antaranya saya terpaksa melakukan kayuhan pada musim tengkujuh dan musim panas; dua kali kemalangan ketika berselisih dengan lori; dan tayar basikal pancit di kawasan hutan,” katanya.
Wan Hashim dianugerahkan sijil daripada ‘The Malaysia Book of Records‘ sebagai pengayuh basikal warga emas pertama melakukan kayuhan merentasi tiga negara secara solo.
Beliau tiba di pejabat Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Wan Hashim disambut anggota keluarganya serta Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abd Rahman.
Pada 2014, Wan Hashim diiktiraf ‘The Malaysia Book of Records‘ sebagai pengayuh basikal solo lelaki tertua mengelilingi Semenanjung Malaysia.
Pada tahun sama, Wan Hashim menjelajah pula ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia dan Singapura menerusi tajaan beberapa pihak termasuk kerajaan Kelantan dan sebuah syarikat telekomunikasi. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]cgz6ZfXFhe8[/wpdevart_youtube]