PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini, pada Rabu memutuskan bahawa Mahkamah Sivil ialah forum yang betul bagi memutuskan perkara-perkara melibatkan perceraian dan hak penjagaan anak apabila seorang daripada pasangan memeluk Islam dan seorang lagi kekal bukan Islam.
Keputusan sebulat suara itu, oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md. Raus Sharif, memutuskan bahawa perkahwinan bukan Islam tidak secara automatik terbubar apabila seorang daripada pasangan memeluk Islam.
Hakim Md. Raus berkata, Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa mengikut Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 untuk memberi relif sampingan berkaitan perceraian dan hak penjagaan kanak-kanak yang dilahirkan hasil perkahwinan sivil.
Beliau membuat keputusan itu dalam kes melibatkan seorang kerani beragama Hindu, S. Deepa, 32; dan bekas suaminya, Izwan Abdullah, 33; yang memeluk Islam sebelum kemudian menukarkan agama kedua-dua anak mereka tanpa persetujuan Deepa.
Hakim Md. Raus berkata kewajipan suami di bawah perkahwinan sivil tidak terlupus setelah beliau memeluk agama Islam.
Ia adalah proses yang disalah guna oleh pasangan memeluk Islam untuk memfailkan permohonan membubarkan perkahwinan dan hak penjagaan anak di Mahkamah Syariah, katanya dan menambah bahawa pasangan yang menukar agama tidak boleh berselindung di sebalik agama untuk melaksanakan kewajipannya dalam prosiding perceraian.
Beliau berkata pasangan yang menukar agama tidak boleh menggunakan alasan penukaran agama untuk lari daripada tanggungjawab di bawah perkahwinan sivil.
Hakim Md. Raus berkata Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan mengenai pembubaran perkahwinan dan hak penjagaan anak dalam perkahwinan sivil, dan bidang kuasa (Mahkamah Syariah) hanya terbatas kepada perkahwinan yang dilangsungkan mengikut undang-undang Syariah.
Bagaimanapun, pertikaian mengenai hak penjagaan antara Deepa dan Izwan, yang dahulunya beragama Hindu dengan nama asal N. Viran; berakhir pada Rabu apabila Mahkamah Persekutuan memberikan hak penjagaan anak lelaki berusia lapan tahun kepada Izwan manakala hak penjagaan anak perempuan berusia 11 tahun kepada Deepa.
Hakim Md. Raus berkata mahkamah telah menemu bual kedua-dua kanak-kanak itu dalam kamar dan anak lelaki memberitahu bahawa dia mahu bersama-sama bapanya, sementara anak perempuan pula menyatakan dia mahu bersama-sama ibunya.
Panel hakim telah menemu bual kedua-dua kanak-kanak itu dalam kamar selama 40 minit sebelum membuat keputusan.
Hakim Md. Raus berkata kedua-dua kanak-kanak itu nampaknya selesa apabila berada bersama ibu bapa mereka dan mahkamah tidak harus mengganggu kehidupan kanak-kanak tersebut.
Beliau berkata anak perempuan itu tinggal bersama ibunya di Johor Bahru dan belajar di sebuah sekolah antarabangsa manakala anak lelaki itu tinggal bersama Izwan dan bersekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Panel itu, yang juga disidangi oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Azahar Mohamed, mengubah perintah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memberi hak penjagaan kedua-dua anak itu kepada Deepa.
Mahkamah juga mencatatkan perjanjian persetujuan antara Deepa dan Izwan mengenai hak melawat anak masing-masing di bawah jagaan mereka.
Deepa dan Izwan akan bertemu sekali pada setiap dua bulan di rumah ibu Deepa, Siti Aishah Abdullah, yang juga seorang mualaf, di Jelebu, Negeri Sembilan selama lima jam pada Sabtu.
Mereka juga bersetuju untuk memberi akses sewajarnya untuk berkomunikasi melalui telefon dengan anak mereka tanpa apa-apa sekatan.
Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut upacara Hindu. Izwan, yang memeluk Islam pada 2011, menukarkan agama kedua-dua kanak-kanak itu tanpa pengetahuan isterinya pada tahun sama dan kemudian mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah Seremban bagi hak penjagaan kanak-kanak itu.
Pada 7 April 2014, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan hak penjagaan kanak-kanak itu kepada Deepa. Dua hari kemudian, Izwan didakwa telah mengambil anak lelaki mereka dari rumah Deepa.
Sementara itu, panel sama juga membenarkan rayuan yang difailkan oleh Izwan, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk mengetepikan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan polis mengesan Izwan dan menyerahkan kembali anak lelaki kepada Deepa.
Hakim Raus berkata Ketua Polis Negara mengambil keputusan yang betul apabila tidak bertindak berdasarkan perintah itu kerana terdapat dua perintah penjagaan yang bercanggah – satu diperoleh Izwan dari Mahkamah Syariah dan satu lagi diperoleh Deepa di Mahkamah Tinggi Sivil.
Beliau berkata adalah mustahil bagi Ketua Polis Negara melaksanakan perintah itu kerana dengan berbuat demikian, ia akan menyebabkan menghina mahkamah terhadap satu lagi perintah.
Di luar mahkamah, Deepa menangis kesedihan kerana tidak mendapat hak penjagaan anak lelakinya dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan namun akan mematuhinya.
Deepa berkata beliau mahu anak-anaknya membesar secara bersama.
Izwan pula berkata beliau gembira dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberi hak penjagaan anak lelakinya kepada beliau.
“Saya benar-benar bersetuju dengan keputusan itu kerana jika mahkamah memberikan hak penjagaan kedua-dua anak kepada Deepa, saya akan berasa kecewa kerana mereka juga anak saya. Jika saya memperoleh hak penjagaan kedua-duanya, Deepa pula yang kecewa,” katanya.
Izwan kelihatan ceria semasa bersama-sama isterinya, Begum Abdullah yang hamil lima bulan. Mereka kemudian mencium serentak pipi anak lelaki itu.
Izwan berkata keluarga bekas isterinya telah memeluk Islam tetapi hanya Deepa yang belum berbuat demikian.
Peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla yang mewakili Izwan berkata keputusan mahkamah itu tidak memutuskan tentang pemelukan agama kanak-kanak berkenaan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]Mgo-ZMIxGeU[/wpdevart_youtube]