SIBU – Seorang pekerja limbungan kapal di Estet Perindustrian Sungai Antu di sini hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Igan petang semalam.
Ricky Ricardo George, 22, dari Rumah Ragai, Sungai Gaat, Kapit yang berpakaian serba merah, memakai topi dan but keselamatan dipercayai tergelincir ketika cuba mengambil barang di kawasan kerjanya pada 5.10 petang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Sibu Kapten (Pertahanan Awam) Frankie John Jawan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.29 malam.
Bagaimanapun menurut beliau, usaha mencari dan menyelamat bersama pihak Bomba dan Penyelamat Sibu tidak dapat dilakukan kerana keadaan gelap.
Operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada 8.30 pagi ini, menggunakan bot di sekitar kawasan tersebut. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]nZABL_idXlo[/wpdevart_youtube]