PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang baharu, satu tanggungjawab besar yang harus dipikul terutama selepas krisis politik yang melanda negeri itu.
Dalam nada terkejut ketika ditanya reaksinya kerana belum sempat membaca berita pelantikannya itu, Mahdzir bagaimanapun berterima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepercayaan yang diberikan itu.
“Bila? Jadi apa? Saya tak sempat baca (kenyataan),” tanya beliau kepada wartawan ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Jabatan Pendidikan Putrajaya hari ini.
Mahdzir juga berazam membantu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang baharu, dalam memperkukuhkan parti di negeri itu, selain meningkatkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
Mahdzir mengisi kekosongan ditinggalkan Ahmad Bashah yang dilantik sebagai pengerusi berkuat kuasa hari ini, seperti diumumkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan hari ini.
“Untuk dalam parti, kita kena buat program yang komprehensif. Di luar parti, kita juga kena buat program untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sekarang bersama mereka,” katanya.
Penstrukturan semula kepemimpinan UMNO Kedah, susulan pelantikan Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar pada 4 Feb lepas bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, sebelum meletak jawatan pada 3 Feb. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]uViKncLQBlk[/wpdevart_youtube]