PUTRAJAYA – Sistem Mata Demerit akan diperkenalkan kepada semua ejen kastam berkuat kuasa 1 April, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad.
Pelaksanaan membabitkan 2,600 ejen kastam itu boleh mengakibatkan mereka yang mengumpul maksimum 20 mata demerit atas kesalahan tertentu dikenakan tindakan seperti digantung atau dibatalkan lesen, katanya.
“Sistem ini membolehkan prestasi ejen semasa berurusan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dinilai secara lebih sistematik selain memastikan tahap pematuhan mereka terhadap dasar dan perundangan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas Seminar Dasar Pematuhan Baharu Ejen Kastam 2016 di sini Selasa.
Seminar yang dihadiri lebih 900 ejen penghantaran dan perkapalan dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Melaka dan Negeri Sembilan itu dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.
Khazali berkata mana-mana ejen yang telah mengumpul 20 mata demerit akan diberikan surat tunjuk sebab dan perlu menjawabnya dalam tempoh dua minggu, dan sekiranya gagal, lesen mereka akan dibatalkan serta merta.
Beliau berkata antara kesalahan yang sering dilakukan ejen kastam ialah mengikrarkan barangan menggunakan kod yang salah atau barangan bercukai diikrarkan sebagai tidak bercukai.
Walaupun JKDM menekankan kepentingan atau kualiti pengisian borang ikrar barangan import seperti Borang K1 Import terhadap ejen-ejen sebelum ini namun kesalahan seumpama itu masih dilakukan, dan memaksa pihaknya menarik 70 lesen ejen kastam sehingga kini, kata Khazali.
Beliau berkata JKDM sebelum ini hanya mengenakan kompaun terhadap ejen yang melakukan kesalahan tetapi kaedah itu dilihat tidak berkesan dalam membentuk tahap kepatuhan kerana “bagi mereka kompaun boleh dibayar”.
“Walaupun sistem ini dilihat agak keras tetapi perlu diingat tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk memastikan ejen-ejen menjalankan perniagaan mengikut syarat yang dipersetujui seperti terkandung dalam lesen yang dikeluarkan JKDM untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata peranan ejen-ejen kastam di pelabuhan dan lapangan terbang sangat penting dalam memastikan kutipan cukai dilaksanakan dengan efisien dan teratur berdasarkan pematuhan terhadap dasar dan perundangan percukaian yang ditetapkan.
“Sebab itu, pihak berkuasa seperti JKDM tidak harus berkompromi dalam hal berkaitan percukaian dan pengenalan Sistem Mata Demerit ini penting untuk mengendalikan ejen-ejen yang yang ingkar dengan peraturan sedia ada,” katanya. – BERNAMA