NASIB malang yang menimpa ke atas seekor harimau yang dilanggar di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) baru-baru ini nampaknya tidak berakhir begitu sahaja apabila sebuah video yang memaparkan gigi taringnya cuba dicuri oleh seorang lelaki tersebar.
Menerusi video berdurasi 28 saat yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, lelaki berkenaan dilihat mengetuk mulut haiwan terbabit dengan menggunakan tukul dan cuba mencungkil taring harimau dengan cara yang ganas dan melampau.
Tindakan individu terbabit lantas menimbulkan kemarahan netizen akibat menyeksa binatang itu walaupun ketika kejadian haiwan terbabit telah mati.
Saksi kejadian, Mohd. Syahrin Abdul Aziz, 43, berkata pada mulanya datang seorang lelaki menggunakan sejenis tukul mengetuk beberapa kali mulut harimau bunting itu, namun tidak pasti sama ada ia berjaya dikeluarkan.
“Saya cakap jangan ambil. Lelaki itu pergi ke bangkai dan tengok-tengok dulu sebelum menelefon seseorang.
“Dia kemudiannya mengetuk mulut haiwan itu menggunakan pengetuk tapi gigi taring itu memang sudah nak cabut,†katanya.
Syahrin yang juga pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh mati haiwan itu berkata, kejadian itu berlaku sebelum pihak peronda tiba ke lokasi kejadian dan beliau juga sudah membuat aduan kepada pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Netizen di media sosial juga dilihat mengecam tindakan biadap individu berkenaan dan berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan dengan menburu pelaku dalam video tersebut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Mohd. Hasdi Husin berkata pihaknya akan memanggil semua individu yang berada di lokasi berkenaan untuk membantu siasatan.
Ini memandangkan beberapa gambar menunjukkan individu sedang mengetuk taring harimau dengan penukul sudah mula tersebar di Facebook.
Katanya, tindakan sedemikian boleh disiasat dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2000 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika didapati bersalah.
Harimau betina seberat 100 kilogram itu dilaporkan mati akibat dilanggar MPV jenis Hyundai pada malam kejadian di Kilometer 321.2 LPT2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh kira-kira pukul 1 pagi, pada 6 Februari.
Hasil bedah siasat pihak Perhilitan Terengganu mendapati harimau berkenaan bunting dua ekor anak.-MYNEWSHUB.CC