KUALA LUMPUR – Realiti sebenar Umno di peringkat akar umbi akan dibentangkan dalam laporan pertama Tan Sri Annuar Musa kepada Majlis Tertinggi (MT) parti, minggu depan.
Ketua Penerangan Umno yang baharu itu berkata, beliau tidak akan menyembunyikan kelemahan yang dikesan sepanjang sesi ‘turun padang’ hampir sebulan bersama ahli parti di semua peringkat itu.
Katanya, laporan itu juga akan mengetengahkan strategi yang lebih tersusun untuk menangani sebarang kelemahan yang dikesan bagi penambahbaikan jentera parti.
“Penambah baik ini adalah dalam konteks penerangan. Takkan saya nak sentuh semua sekali, takkan saya nak jadi Superman nak memandai-mandai tak boleh.
“Kita mesti berani mengaku kelemahan. Kalau tak mengaku kelemahan, kita tak akan buat pembetulan. Bagi saya melakukan muhasabah itu satu keperluan. Jadi kalau kita lemah, kena mengaku lemah dan betulkan.
“Tidak menjadi kesalahan untuk menerima hakikat kelemahan, tetapi yang bahanya ialah apabila kita merasakan kuat tapi sebenarnya mungkin tak sekuat yang disangka,” katanya pada sesi temubual bersama mStar Online.
Jelas Annuar, berdasarkan tinjauan dan maklumbalas yang diperoleh, masih wujud kelemahan daripada segi struktur, sistem, strategi dan storyboard parti.
“Struktur parti didapati tidak kemas, manakala sistem yang digunapakai juga tidak bergerak seiring, selain strategi yang tidak jelas.
“Kita juga perlu tahu, isu 1MDB, TPPA bukan storyboard Umno, tetapi perjuangan Umno adalah storyboard kita,” katanya.
Menurutnya, secara konvensional fungsi jentera penerangan adalah bercakap untuk menyampaikan mesej ke peringkat akar umbi.
“Bagaimanapun, perubahan zaman dan era teknologi kini menyebabkan tanggungjawab jentera penerangan bukan lagi bercakap tetapi mendengar,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak akan berhenti menyalurkan mesej yang tepat bukan sahaja kepada ahli parti, malahan rakyat keseluruhannya. – mStar Online