PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) di sini bagi meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang maklumat dan komunikasi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura Dr Yaacob Ibrahim menandatangani MOU itu bagi pihak negara-negara masing-masing.
Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dikeluarkan sempena majlis itu, MOU berkenaan menandakan komitmen kedua-dua negara untuk bekerja bersama-sama dalam sektor maklumat dan komunikasi, terutamanya bidang penyiaran.
MoU itu juga bertujuan memperluaskan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat, terutamanya tentang penggunaan komputer dan internet sebagai satu cara komunikasi dan penyebaran maklumat.
“Kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan program pertukaran radio dan televisyen, wakil media massa serta maklumat mengenai dasar dan pengawalseliaan yang memanfaatkan kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.
“Kerjasama dalam bidang perkhidmatan pos dan penggalakan kerjasama industri antara Malaysia dan Singapura juga akan terus diperkukuhkan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Salleh berkata MoU mengenai maklumat dan komunikasi itu merupakan peristiwa bersejarah bagi kedua-dua negara berjiran itu.
“Kami akan bekerja bersama-sama dalam kedua-dua bidang itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu.
Yaacob pula berkata Singapura menyambut baik kerjasama dengan Malaysia dalam bidang maklumat dan komunikasi.
“Kami fikir ia adalah MoU yang penting kerana bidang maklumat dan komunikasi berkembang dengan pantas.
“Kerjasama ini akan membolehkan kita bertukar-tukar kepakaran dan maklumat.
Kami mengalu-alukan kerjasama dengan rakan di Malaysia kerana kami boleh mendapat manfaat dengan belajar daripada mereka serta mereka berkongsi dengan kami,”katanya.
Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Setiausaha Tetap Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura Aubeck Kam.
Majlis itu diadakan sempena Konsert Ekstravaganza Muzika Ke-10 di Auditorium Perdana, Angkasapuri di Kuala Lumpur hari ini.
Program muzik itu, yang menampilkan penghibur Malaysia dan Singapura, akan disiarkan secara langsung di kedua-dua negara. – BERNAMA