SIAPA sangka penyanyi kelahiran Malaysia, Jeffri Ramli berjaya membuatkan juri program nyanyian The Voice UK, berdansa poco-poco ketika rancangan realiti itu ke udara baru-baru ini.
Menerusi video yang kini giat dikongsikan di media sosial, Jeffri, 35; membawakan lagu berjudul Valerie ketika program berkenaan disiarkan secara live pada malam Sabtu.
Lelaki Malaysia Ini Ajar Juri Menari Poco-Poco… oleh mynewshub
Jeffri walaupun tidak berjaya mencuri tumpuan juri untuk kelayakan ke pusingan seterusnya, namun telah menarik tumpuan juri Will.I.Am setelah selesai menyanyikan lagu berkenaan.
Will.I.Am mengajukan soalan “Do you know how to do a traditional Malaysian dance? (awak tahu bagaimana caranya menari tarian tradisional Malaysia?)” kepada Jeffri.
Tanpa berlengah, Jeffri yang juga merupakan jurutera rekaan mempersembahkan tarian poco-poco di atas pentas lalu kesemua juri iaitu Ricky Wilson, Paloma Faith dan Boy George turut sama mengikut rentak dan teknik yang diajarkan oleh Jeffri.
Penonton memberikan tepukan gemuruh atas sikap sempoi yang dipamerkan juri dan setelah selesai berdansa, Will.I.Am sempat memberikan pujian dengan mengatakan “awak mempunyai negara yang sangat menarik”.
Jeffri yang telah bermaustautin di Newcastle selama 14 tahun, mengatakan dia amat terharu dan teruja kerana juri-juri dan penonton begitu sporting ketika ujibakat tersebut dijalankan.  – MYNEWSHUB.CC