FORTEEN yang dianggotai oleh jejaka jambu terdiri daripada Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One), Mohamad Arif Ameerais Azhar (Ameer), Mohammad Izzul Islam Mazlan (Izzue Islam), Saiful Ridzuan Abdul Hamid (Ariz Lufias) diramalkan bakal berpecah.
Namun kumpulan vokal itu ternyata menepis dakwaan tersebut dengan munculnya single terbaru mereka.
Ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim, ternyata lagu ‘Dekat Tapi Jauh’ membuktikan bahawa kumpulan yang dianggotai oleh empat jejaka pujaan ramai ini masih lagi utuh dan relevan.
Single terbaru mereka ini berkonsepkan muzik berentak ‘brit pop’ yang lebih segar dan kontemporari. Ia juga disifatkan sebagai memenuhi selera, jiwa dan citarasa remaja masa kini terutamanya peminat-peminat setia Forteen.
Keistimewaan yang ditampilkan dalam lagu baru ini adalah, keempat-empat anggota kumpulan ini turut menyumbangkan suara solo masing-masing berbanding lagu yang sebelumnya yang hanya memfokuskan kepada One dan Ariz sahaja.
Ini menunjukkan dan membuktikan bahawa keyakinan setiap ahli sudah bertambah sekaligus dapat mengimbangi kebolehan mereka antara satu sama lain.
Ternyata, keberadaan di dalam industri selama hampir 6 tahun banyak mengajar Forteen. ‘Dekat Tapi Jauh’ merupakan single ketujuh selepas lagu-lagu popular mereka seperti Berdua Bersatu, Seperti Dulu, Kita, Tidak Pernah Berjumpa dan Linangan Terakhir.
Bagi peminat-peminat setia kumpulan vokal ini Mynewshub berkongsi single terbaru dari mereka untuk halwa telinga anda, semoga terhibur. – MYNEWSHUB.CC