BALING – Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah menasihati para pendaki agar memastikan api yang digunakan untuk memasak dipadamkan sepenuhnya sebelum turun dari gunung.
Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Kedah, Ahmad Shahabuddin berkata ini kerana kebanyakan punca kebakaran disebabkan oleh tindakan pendaki yang tidak memadam api setelah melakukan aktiviti memasak di atas gunung.
“Saya minta pendaki supaya lebih berdsiplin, api yang tidak dipadam sepenuhnya boleh menyebabkan kebakaran,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Bencana di Gunung Pulai di sini, hari ini.
Pada kejadian semalam, hampir 10 hektar kawasan hutan di puncak Gunung Pulai terbakar dipercayai akibat aktiviti memasak oleh para pendaki.
Pasukan bomba melakukan operasi memadam kebakaran menggunakan ‘jet shooter’ selain pemadaman secara manual.
Pihaknya juga kini melarang semua aktiviti pendakian buat sementara waktu di gunung terbabit. – BERNAMA